02 April 2010

Tricks in Mathematics


Di sini terdapat tipu muslihat Matematik yang akan menolong kanak-kanak tersebut kelihatan seperti pakar Matematik.

Anda, pakar Matematik pada masa hadapan, mula dengan memberi kawan anda kalkulator. Kemudian, anda beri arahan-arahan berikut kepada kawan anda. Pastikan kawan anda tekan butang bersamaan (=) selepas setiap langkah.
• Masukkan nombor 7
• Darab dengan bulan kelahiran anda
• Tolak nombor 1
• Darab dengan nombor 13
• Tambah dengan hari kelahiran anda
• Tambah nombor 3
• Darab dengan nombor 11
• Tolak dengan bulan kelahiran anda
• Tolak dengan hari kelahiran anda
• Bahagi dengan nombor 10
• Tambah nombor 11
• Bahagi dengan nombor 100

Dan, penuh ketakjuban, hari jadi kawan anda akan kelihatan pada skrin kalkulator. Contohnya, jika kawan anda dilahirkan pada bulan Februari 29. Di bawah, saya akan mengulangi arahan-arahan,langkah demi langkah. Keputusan untuk setiap langkah dalam akan muncul dalam warna merah.
• Masuk nombor 7 (7)
• Darab dengan bulan kelahiran (7x2=14)
• Tolak dengan nombor 1 (14-1=13)
• Darab dengan nombor 13(13x13=169)
• Tambah dengan hari kelahiran anda (169+29=198)
• Tambah nombor 3 (198+3=201)
• Darab dengan nombor 11 (201x11=2211)
• Tolak dengan bulan kelahiran (2211-2=2209)
• Tolak dengan hari kelahiran kawan anda (2209-29=2180)
• Bahagi dengan nombor 10 (2180/10=218)
• Tambah dengan nombor 11 (218+11=229)
• Bahagi dengan nombor 100 (229/100 = 2.29)

Formula ini akan berhasil setiap kali. Cubalah!
Sudah tentu, permainan tipu muslihat Matematik tersebut akan menarik hati murid kita dan mewujudkan suasana magic yang penuh kepintaran pada diri mereka.

Susah belajar kerana penyakit




ANAK anda dilabel lembap dan lemah dalam pelajaran. Mereka diletakkan di kelas terakhir atau dalam kelas pemulihan. Guru-guru cuba mengajar mereka sebaik mungkin, namun akhirnya guru-guru pula kecewa. Hari ini diajar, esok sudah lupa. Ibu bapa dipanggil dan berbincang.

Persepsi guru, kanak-kanak ini tidak belajar di rumah dan kurang pemantauan daripada ibu bapa. Manakala persepsi ibu bapa pula guru-guru tidak memberi perhatian kepada anak mereka. Adakalanya berlaku perselisihan faham antara guru-guru dan ibu bapa yang menyebabkan ibu bapa berkecil hati dan minta bertukar sekolah. Guru-guru pula menilai kembali teknik pengajaran mereka mencari di mana silap mereka, teknik diperbaharui tetapi kanak-kanak ini tidak juga menampakkan perubahan. Masih tidak dapat membaca dan menulis seperti yang sepatutnya bersesuaian dengan usia mereka. Akhirnya guru-guru meminta pelajar ini di bawa ke hospital untuk pemeriksaan lanjut. Persoalannya, ke mana harus dibawa pelajar ini sedangkan mereka tidak mengadu sebarang sakit fizikal. Mungkin masalah mata dan telinga, maka mereka pun diperiksa oleh doktor yang mengesahkan pelajar ini adalah sihat dan tidak ada sebarang masalah.
Bila mereka dirujuk ke Klinik Psikiatri timbul tanda tanya mengapa harus pergi ke Klinik Psikiatri sedangkan anak mereka tidak mempunyai masalah mental. Namun, setelah mereka menjalani ujian saringan, bertemu dengan doktor dan penerangan diberikan barulah mereka faham bahawa selama ini bukanlah salah guru-guru anak mereka tidak boleh membaca dan juga bukanlah salah ibu bapa yang telah bertungkus lumus memantau kerja-kerja sekolah mereka, rupa-rupanya mereka mempunyai masalah pembelajaran.

Masalah pembelajaran merujuk kepada kesukaran seseorang kanak-kanak itu dalam aktiviti pembelajaran yang melibatkan kebolehan bertutur, mendengar, membaca, menulis, mengeja, memberi penjelasan atau penerangan, mengatur maklumat dan mengira. Masalah ini sebenarnya berpunca daripada masalah neurologi atau saraf yang melibatkan pemprosesan maklumat di otak.

Pelajar yang mengalami masalah pembelajaran tidak sama dengan mereka yang terencat akal secara amnya. Tetapi mereka yang terencat akal pastinya akan mengalami masalah pembelajaran. Ini hanya boleh dibezakan dengan penilaian kognitif iaitu IQ atau ‘intelligent quotient’. Masalah pembelajaran adalah masalah yang berpanjangan sepanjang hidup seseorang. Walaubagaimanapun dengan adanya intervensi awal, nasib kanak-kanak ini boleh diubah.

Pemprosesan maklumat
Terdapat beberapa jenis masalah pembelajaran dan boleh dikategorikan kepada jenis pemprosesan maklumat yang bermasalah atau disebabkan oleh kesukaran pemprosesan maklumat itu sendiri.

Masalah pemprosesan maklumat dikategorikan kepada empat peringkat iaitu penerimaan maklumat, integrasi maklumat, penyimpanan maklumat dan pengeluaran maklumat.

1) Penerimaan maklumat
Maklumat diterima oleh semua deria seperti penglihatan, pendengaran, sentuh, rasa dan bau. Sekiranya seseorang itu mempunyai masalah persepsi penglihatan, ini akan menyebabkan kesukaran mengenal bentuk, kedudukan dan saiz sesuatu objek, dan juga masalah dengan susunan atau aturan.
Masalah pendengaran pula akan menyebabkan kesukaran menyaring bunyi luar dalam usaha untuk memberi tumpuan kepada sesuatu seperti suara guru ketika guru mengajar. Selain itu ada juga pelajar yang tidak dapat memproses deria sentuhan seperti sakit dan sentuhan.

2) Integrasi maklumat
Peringkat ini adalah peringkat menafsir segala maklumat yang diterima. Maklumat ini akan di letakkan dalam susunan dan mempunyai kaitan dengan pembelajaran atau pengalaman yang lalu. Pelajar yang menghadapi masalah ini tidak dapat menceritakan sesuatu mengikut turutan yang betul. Contohnya, turutan hari dalam seminggu. Mereka boleh memahami konsep baru tetapi gagal menggunakannya dalam gambaran yang lebih luas. Perbendaharaan kata yang lemah pula dikaitkan dengan masalah pemahaman.

3) Penyimpanan maklumat
Masalah dengan ingatan boleh berlaku pada aktiviti penyimpanan maklumat iaitu maklumat yang disimpan sama ada untuk jangka pendek atau jangka panjang. Kebanyakan masalah timbul disebabkan oleh masalah kesukaran mengingat perkara yang baru berlaku (jangka pendek) menyebabkan sukar untuk mempelajari perkara baru. Untuk mengingati perkara baru ini memerlukan ia diulang beberapa kali.

4) Pengeluaran maklumat
Maklumat dikeluarkan daripada otak menggunakan perkataan iaitu pertuturan atau melalui aktiviti otot seperti menulis, melukis atau menggayakan sesuatu. Kesukaran pengeluaran maklumat ini akan menyebabkan masalah dengan pertuturan contohnya seperti kesukaran menjawab soalan yang diajukan. Pada masa itu, seseorang itu perlu mencari semula maklumat dalam simpanan otak, mengatur dan mengeluarkannya melalui perkataan semasa kita bercakap. Ia juga boleh menyebabkan kesukaran dalam penulisan iaitu dalam konteks menyampaikan sesuatu idea seperti menulis karangan.
Kesukaran dalam pergerakan motor kasar pula akan menyebabkan seseorang kelihatan pelik seperti kelam kabut, mudah terjatuh, atau seringkali melanggar sesuatu ketika bergerak. Mereka juga mempunyai masalah berlari, memanjat dan kesukaran mengayuh basikal. Bagi mereka yang mempunyai masalah pergerakan motor halus pula akan mempunyai masalah memasang butang baju, mengikat tali kasut dan penulisan.
Jika seseorang itu mengalami kesukaran dalam pemprosesan maklumat , ia boleh menyebabkan beberapa masalah spesifik dalam pembelajaran. Boleh juga terjadi lebih daripada dua masalah pada seseorang individu.

1) Masalah kesukaran membaca
Kebanyakan masalah pembelajaran sangat berkait rapat dengan masalah pembacaan. Kesukaran membaca amat sinonim dengan disleksia. Kesukaran membaca ini boleh disebabkan oleh pelbagai masalah dalam mana-mana bahagian proses membaca termasuk kesukaran atau kefasihan mengenal huruf, masalah menghubungkan simbol dengan bunyi, kelancaran membaca dan pemahaman semasa membaca. Sebelum istilah disleksia digunakan, masalah kesukaran pembelajaran ini lebih dikenali sebagai buta huruf.

2) Masalah kesukaran menulis
Masalah dalam bahasa pertuturan juga dipanggil disfasia atau afasia. Kanak-kanak akan mengalami kesukaran dalam bertutur, mengutarakan pendapat atau memberi jawapan. Kesukaran dalam penulisan oleh merangkumi kesukaran dalam menulis, mengatur sesuatu idea dan mengarang. Istilah disgrafia selalunya digunakan untuk merangkumi semua masalah penulisan.

3) Kesukaran dalam pengiraan
Biasanya dipanggil diskalkulia, kesukaran pengiraan boleh menyebabkan kesukaran memahami konsep pengiraan seperti kuantiti, nilai dan masa, kesukaran mengingati fakta pengiraan, kesukaran mengatur nombor dan pemahaman tentang sesuatu permasalahan untuk dipindahkan ke dalam bentuk nombor di atas kertas untuk proses pengiraan.

4) Masalah pembelajaran bukan lisan
Masalah pembelajaran bukan lisan biasanya dicirikan oleh kejanggalan pergerakan, kelemahan kemahiran visuospatial iaitu masalah berkaitan ruang, masalah dalam hubungan sosial, kesukaran dalam membuat pengiraan dan kesukaran mengurus sesuatu. Mereka selalunya mempunyai kekuatan dalam bidang lisan, termasuk kebolehan bertutur yang awal, mempunyai banyak perbendaharaan kata, cepat membaca dan mengeja, dan cemerlang dalam tugasan yang selalu dilakukan.
Dispraksia pula kadang-kadang dipanggil masalah mengatur pergerakan, dispraksia merujuk kepada pelbagai kesukaran dengan kemahiran motor atau pergerakan. Justeru itu dispraksia boleh menyebabkan masalah dalam pergerakan mudah seperti kesukaran menyikat rambut atau melambai tangan, kesukaran pergerakan yang kompleks seperti menggosok gigi, memakai baju ataupun masalah yang berkaitan dengan ruang seperti meletakkan sesuatu objek secara tepat pada kedudukan yang dikehendaki.

5) Masalah kesukaran pertuturan dan mendengar
Kesukaran yang selalunya berlaku serentak dengan kesukaran pembelajaran ini termasuklah kesukaran dengan ingatan, kemahiran sosial dan fungsi melaksanakan sesuatu seperti menguruskan sesuatu atau pengurusan masa.

6) Masalah pemprosesan pendengaran
Kesukaran dalam pemprosesan maklumat termasuklah kesukaran dalam kebolehan memahami lebih dari satu tugasan pada satu-satu masa. Walaubagaimanapun, biasanya mereka mempunyai kelebihan iaitu mudah mempelajari sesuatu dengan menggunakan deria penglihatan.

Setelah mengenali punca-punca masalah pembelajaran, saya berharap kita dapat menilai kembali anak-anak kita. Mungkinkah mereka ini tergolong dalam kategori yang disenaraikan tadi. Sekiranya terdapat sebarang syak atau keraguan, bawalah anak anda berjumpa pakar psikiatri untuk penilaian lanjut. Pengesanan awal dapat membantu kanak-kanak ini menjalani program pembelajaran yang sewajarnya dan dapat mengelakkan komplikasi pada masa akan datang seperti tekanan emosi, kemurungan, rasa rendah diri, ponteng sekolah dan masalah disiplin.

Skim Pinjaman Buku Teks


Inilah tugas yang dipertanggungjawabkan kepada saya sejak tahun lepas. Mulanya memang saya menolak tugas ini, memandangkan saya merupakan guru kelas Tahun 1. Tapi itulah, kata-kata keramat 'Saya Yang Menurut Perintah' membuatkan saya menggalaskan amanah ini.
Bilik Operasi SPBT Sekolah (BOSS) di SK. Sungai Rambai mempunyai keluasan yang terhad. Antara perkara utama yang saya lakukan semasa menyandang jawatan itu pada tahun 2009 adalah memastikan aplikasi Sisteks v.2 dilaksanakan. Saya masih belajar dalam memahami dan memahirkan diri sebagai Guru Kanan SPBT. Harapan besar saya adalah diharapkan pelanggan utama Unit SPBT SKSR berpuas hati dengan servis yang diberikan.

Senamrobik



Aktiviti di SK. Sungai Rambai

Sekali sekala buat aktiviti senamrobik memang seronok. Berpeluh jugak la...terutamanya bagi saya yang jarang bersenam.
Yang best nyer, bila semua cikgu-cikgu sporting...enjoy habis...
semua rasa muda...teringat zaman dulu-dulu. Dulu nak aktif macamana pun tak kisah kan...ok jer..

Karnival Bahasa 2010






Pada tahun ini, Karnival Bahasa 2010 diadakan pada 29 Mac bertempat di SK. Machang Bubuk. SK. Sungai Rambai telah menghantar beberapa orang peserta dalam Karnival Bahasa 2010 Peringkat Kelompok R17. Objektif menyertai Karnival Bahasa 2010 ini adalah bagi memberi pendedahan dan memupuk minat murid dalam mengambil bahagian secara aktif. Sk.Sungai Rambai memenangi tempat kedua dalam kategori Bercerita Tahap 2.

Masalah dalam pembelajaran Matematik

Sepanjang saya bertugas sebagai seorang guru matematik, pelbagai kaedah pengajaran dan pembelajaran yang dirancang bagi membantu murid menguasai kemahiran-kemahiran matematik. Guru matematik merupakan golongan yang dipertanggungjawabkan untuk mengajar matematik yang mana guru juga berdepan dengan pelbagai masalah pengajaran matematik yang berbeza mengikut tahap murid. Murid sekolah rendah Tahun 1 dan 2 yang baru mengenal alam persekolahan pun mempunyai masalah yang tersendiri. Pada tahun 2010 ini, saya sudah mengajar selama 10 tahun di peringkat Tahun 1 dan 2. Pengalaman sepanjang 10 tahun bersama murid Tahun 1 dan 2 membuka minda saya tentang psikologi kanak-kanak.

Namun, daripada pandangan orang luar, mengajar murid sekolah rendah, iaitu Tahun 1 dan Tahun 2 nampak mudah. Hakikatnya, ia tidaklah semudah yang disangka. Pada peringkat usia 7 dan 8 tahun, murid-murid ini masih belum mampu untuk berdikari untuk belajar. Semuanya perlu diarahkan. Mungkin kerana didikan tidak formal di rumah oleh ibu bapa, menjadikan mereka amat memerlukan perhatian secara individu sebagaimana di rumah. Jika dilayan secara individu, mereka sebenarnya lebih pantas dalam pembelajaran.

Pada peringkat ini juga, murid-murid sukar memberikan fokus dalam perkara yang diajar secara formal di dalam bilik darjah. Malah daripada pemerhatian saya, fokus murid-murid perempuan lebih lama berbanding murid lelaki . Lazimnya, murid- murid perempuan nampak lebih senang duduk diam dalam menyiapkan kerja. Berbeza pula dengan murid lelaki yang lebih berminat untuk bermain dan bersuka ria.
Sepanjang proses pengajaran dan pembelajaran matematik, kawalan dan pengurusan tingkah laku murid amat penting bagi memastikan pembelajaran murid berkesan. Masalah sikap inilah yang memungkinkan murid gagal menguasai konsep asas dalam matematik. Mereka juga akan gagal menguasai kemahiran-kemahiran matematik yang asas, seperti nombor bulat, tambah dan tolak. Oleh kerana masalah ini tidak ditangani dan kelemahan tidak diperbaiki dari peringkat awal, maka ia berterusan sehinggalah murid itu masuk ke Tahun 2. Kita tidak mahu murid menganggap matematik sebagai satu mata pelajaran yang sukar.

Persepsi murid yang menganggap matematik sebagai satu subjek yang sukar dan membosankan menyebabkan kita sebagai guru matematik akan berdepan dengan masalah hilangnya minat untuk mempelajari matematik dalam kalangan murid-murid sekolah. Masalah tidak minat atau kurang minat ini seterusnya akan membawa kepada masalah yang lebih besar, iaitu murid-murid gagal untuk menguasai kemahiran-kemahiran asas dalam matematik.

Apakah anda juga menghadapi masalah seperti saya atau mungkinkah masalah anda lebih berat? Luahkan pandangan , pendapat dan komen anda.

Salam Perkenalan


Saya adalah seorang guru di utara tanah air dan mendapat latihan perguruan di Maktab Perguruan Persekutuan Pulau Pinang. Saya mula melangkah ke dunia pendidikan yang sebenar mulai tahun 2000. Dari situ, banyak pengalaman sebenar yang dilalui. Niat di hati, saya ingin berkongsi suka duka kehidupan, luahan rasa dan apa sahaja yang dapat membantu kita semua dalam menjadi insan yang lebih baik pada masa depan. Kepada semua blogger, harapan saya agar kita dapat memanfaatkan teknologi maklumat hari ini untuk kebaikan kita bersama. Saya juga mengalu-alukan sebarang pandangan dan pendapat.