Cadangan pihak kementerian mahu memansuhkan peperiksaan PMR dan UPSR membangkitkan rasa bimbang mengenai sistem penilaian murid oleh masyarakat. Sama ada masyarakat masih belum memahami sistem penilaian berasaskan sekolah atau berada dalam keadaan selesa mungkin menyukarkan sedikit pelaksanaan cadangan pemansuhan ini. Pihak kerajaan juga tidak terburu-buru dalam melaksanakan proses ini sambil menanti reaksi pelbagai pihak bagi mendapat respons mereka.
Ibu bapa adalah golongan utama yang bimbang akan hal sebegini. Mungkin pada pandangan mereka keadaan pelajar akan tidak fokus kerana tiada peperiksaan yang bakal dihadapi selain SPM yang dihadapi. Sekiranya UPSR dan PMR dimansuhkan, maka para pelajar hanya akan mengambil peperiksaan sehingga tahun kesebelas persekolahan, iaitu di tingkatan lima. Kebimbangan ini ada asasnya bagi ibu bapa yang pentingkan pencapaian akademik kerana dengan adanya peperiksaan maka teruji tahap kebolehan anak-anak mereka. Selain itu menjadikan anak mereka lebih kompetatif dalam dunia pendidikan.
Sampai ketikanya, pihak kementerian perlu menjelaskan secara terperinci mengenai sistem penilaian berasaskan sekolah yang ingin dilaksanakan supaya semua pihak dapat menerima serta memahami keadaan sebenar. Masyarakat juga perlu dididik demi melihat perubahan dalam merencanakan agenda pendidikan Negara.
Sendainya UPSR dan PMR dimansuhkan, dapatkah ia menjadi berita gembira buat para pendidik? Sekiranya diambil kira sistem penilaian sekolah yang mungkin akan dilaksanakan, mungkinkah ia tidak menambah beban kerja para guru. Ini kerana, sistem yang bakal dilaksanakan dapat menghimpunkan pelbagai tugas khususnya akademik, sahsiah dan sukan bagi menilai tahap kebolehan pelajar.
Walau pun jika dimansuhkan ia dapat memberikan ruang buat para guru tidak terbeban dengan pencapaian pelajar. Namun, aspek lain perlu diperhatikan kerana sistem penilaian berasaskan sekolah lebih menyeluruh bagi menilai setiap pelajar. Diharapkan ia mempunyai instrumen yang kukuh supaya integriti pengukuran pencapaian pelajar dapat kepercayaan masyarakat. Sekiranya tidak, kepercayaan masyarakat akan hilang kepada segala usaha yang dibuat oleh guru.
Penilaian secara menyeluruh ini berpotensi membebankan guru kerana selain akademik, guru juga perlu teliti dalam memantau setiap perkembangan pelajar dari segi sahsiah serta kegiatan sukan mereka. Bimbang nanti, banyak lagi borang dan hal pengurusan yang lain perlu dikerjakan oleh guru sehingga mengalih tumpuan pengajaran dan pembelajaran.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan